Monday, February 23, 2015

Ziarah Umrah bersama Inqaz

Assalamualaikum wr wb

Beruntung jemaah yang dapat menunaikan umrah menggunakan  visa umrah selepas musim Haji.. 

Jemaah ini meminta saya menguruskan ziarah mereka. Kumpulan kecil terdiri drp ibu mertua, abang sebagai mahram dan adik beradik perempuan..

Mereka sangat beruntung mereka dijemput saat suasana hening dan tidak sibuk ketika kedatangan mereka.. 

Mereka bercerita dengan penuh seronok - alhamdulillah tak perlu berebut mengucup Hajaratul Aswad.. 
Subehanallah.. Pengalaman saya setelah beberapa kali berada di hadapan Kaabah , belum pernah lagi saya melihat jemmah mengucup dengan mudah tanpa berhimpit..
Justeru, bila mereka bercerita saya yakin mereka hamba Allah yg terpilih.. Allahuakbar..Ini gambar-gambar Yg mereka share

Penerbangan - Emirates Airline


Jemaah mendarat di lapangan terbang Jeddah . Singgah di masjid terapung Jeddah Utk solat subuh sebelum bertolak ke Mekah.


Menginap di Hotel Elaf Kinda bersebelahan Hotel Hilton. Jarak lebih kurang 200 meter drp Masjidil Haram


Selesai umrah.  Alhamdulillah




Syukur kpd Allah dapat berdoa di hadapan kaabah - 


Bersarapan pagi bersama family di Kota Suci Mekah


Cantik pemandangan daripada tingkat atas Masjidil Haram

Jemaah dapat mengambil gambar ketika pekerja sedang memperkemaskan kedudukan hajaratul aswad) 
MashaAllah suasana sgt lapang menunjukkan keadaan di dataran Masjidil Haram lengang.. 

Seronok bila saya dapat tahu Jemaah juga dapat mendaki Gua Hira' -( Ziarah Pilihan ). Dapat  melihat sendiri tempat rasulullah saw yang Kita kasihi  bermunajat Dan menerima wahyu daripada Allah swt.



Kawasan Gua Hira'

Pemandangan dari atas


Juga pemandangan drp atas

Salah satu lagi ziarah yang mungkin ramai yang teringin untuk pergi
Ziarah ke Jabal Rahma di mana Adam dan Hawa dipertemukan semula setelah puluhan tahun berpisah.

Tiba masa Utk Bergerak ke Kota Madinah 


Kenderaan yang disediakan buat jemaah

InshaaAllah kumpulan kecil satu keluarga (6 orang- inshaaAllah Inqaz menyediakan kenderaan ini)


Singgah 'lunch' dipertengahan Jalan ke Kota Madinah

Mendaftar di Hotel Dyar international Madinah



Suasana di Madinah juga masih lengang. 


Kota Madinah


Masjid Nabawi



Keesokkan Hari Ziarah luar Kota Madinah

Dimulakan dengan menziarahi Masjid Quba

Solat dua rakaat di Masjid Quba sama pahala menunaikan umrah ( di pesan oleh rasulullah saw untuk berwuduk dari rumah/ hotel sebelum memulakan perjalanan ke Masjid Quba Utk mendapat pahala umrah)


Ziarah Bukit Uhud  di mana terletaknya makam sayyidina Hamzah pakcik kesayangan Rasulullah

Sekiranya anda beruntung anda pasti akan terhidu bau yang sangat wangi saat berdiri di pagar makam para syahid


Kubur para syahid dalam pagar 👆

Kurma juga ada di jual di bawah kaki Bukit Uhud.



Alhamdulillah mereka selamat kembali ke tanah air . Perjalanan 12 hari 10 malam didoakan kembali dengan umrah makbullah.
Terima kasih atas keperayaan kalian

Berminat umrah bersama inqaz
Hubungi email : inqazglobal@gmail.com









Sunday, February 15, 2015

Peringatan buat semua wanita

Contohi isteri TGNA

PERMERGIAN insan tersayang yang berkongsi hidup selama 53 tahun sudah pasti memberi kesan hebat kepada diri seseorang, apatah lagi insan itu seorang suami penyayang yang lebih dikenali sebagai Tok Guru, juga menjadi pemimpin disayangi ramai, di dalam dan luar negara.

Ikuti luahan hati DATIN TUAN SABARIAH TUAN ISHAK, isteri bekas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam wawancara eksklusif bersama wartawan Sinar Harian, ROSMIZA KASIM dan SITI FATIHAH AWANG di kediaman beliau sehari selepas pemergian suami yang dicintai itu.“Nanti abang tak dok (meninggal dunia) lepas ni, sapo nak jago Yah,” itulah kata-kata yang membuatkan hati saya sedih dan sayu apabila mengenangkan suami yang baru sehari meninggalkan saya buat selama-lamanya.

Kata-kata abang itu yang diluahkan tiga hari sebelum meninggal dunia, ketika dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) itu saya sambut dengan senyuman, sambil memegang tangan insan yang selama ini berkongsi hidup suka dan duka dengan saya.

Sambil menggenggam tangan abang, saya kata “anak-anak kita kan ada, mereka boleh jaga saya sampai bila-bila. Abang janganlah risau,” walaupun dalam hati saya ketika itu sebak tidak terkata.

(Perasaan yang ditanggung itu diluahkan Tuan Sabariah sambil menyapu air mata dengan tisu yang dihulurkan saudara-mara yang datang menziarahi keluarganya di kediamannya).

Kini, anak-anaklah yang akan menjadi peneman saya, menghilangkan kesunyian hidup saya. Walaupun baru sehari, saya mengakui saya sangat merindui beliau.

Dengan izin, hari ini (semalam) saya dan semua anak-anak awal-awal pagi lagi ke kubur. Dalam keadaan sayu hati dan reda dengan ketentuan ALLAH SWT, saya sedekahkan Al-Fatihah dan ayat suci al-Quran kepada suami tercinta di perkuburannya.

Saya reda dan saya juga tidak 'berhutang' apa-apa lagi dengan abang. Saya memang menjaga abang sepenuh hati saya sebagai seorang isteri sebagaimana yang abang mahukan selama ini, walaupun saya juga kadang kala diuji dengan kesihatan yang tidak menentu.
 
Sebelum ini, makan, minum dan pakaian abang dijaga dengan baik. Makanan sentiasa terhidang untuk suami tersayang dan tidak pernah sekalipun saya menyuruhnya mengambil sendiri.
 
Cuma, saya perasan satu kelainan kerana beberapa bulan lalu, abang kadangkala menyediakan sendiri minumannya tanpa bantuan saya.
 
Saya menghormati abang, memang abang seorang insan istimewa yang tiada galang gantinya bagi saya. (Beliau terus menyapu air mata dan kemudiannya cuba memujuk diri dengan melemparkan senyuman kepada hadirin).
 
Biarpun abang seorang menteri besar dan pemimpin masyarakat, namun abang bukanlah seorang yang cerewet, terutamanya dalam soal memilih makanan.
 
Senang sangat, malah saya yakin setiap isteri di dunia ini mengimpikan seorang suami yang 'mudoh baso' (senang kira) malah tidak keterlaluan jika saya katakan, saya antara  yang bertuah kerana memiliki abang.
 
Masakan kampung memang menjadi keutamaan abang. Sedap atau tidak bukanlah satu kepentingan. Apa yang pasti, itulah menu pilihan, tambahan pula jika disajikan dengan ikan darat, ditambah pula kuih paling digemari, lompat tikam serta jala emas.
 
(Mengimbas semula kisah hidupnya sebagai suami isteri, Tuan Sabariah juga memberitahu setiap malam dia akan mengurut dan menyapu minyak di tubuh Tok Guru sebelum tidur).
 
Sentiasa saya ingat, kata-kata abang yang memberitahu, tidak ada harta yang banyak boleh ditinggalkan untuk anak-anak. Semuanya sudah diberikan. Harta yang dimaksudkan adalah ilmu untuk menjadikan anak-anak yang soleh, berguna kepada agama dan bangsa.
 
Memang abang pentingkan ilmu kepada anak-anak, kerana baginya, ilmulah darjat yang paling tinggi di akhirat.
 
Itulah yang sentiasa menjadi pesanan abang kepada semua anak-anak.
 
Bukan sahaja pentingkan ilmu, malah abang juga seorang yang penyayang. Masih terbayang-bayang lagi tiga hari sebelum abang menghembuskan nafas terakhir, kami ketawa bersama apabila dia mengenyit mata kepada saya ketika terbaring di katil hospital.
 
Malah saya membalasnya dengan senyuman yang penuh ikhlas dari hati saya sambil menggenggam tangannya.
 
Walaupun ketika itu abang tidak gagah namun abang masih lagi memujuk hati saya dengan bersikap demikian kerana abang tahu, saya terlalu risaukan kesihatan abang.
 
Saya kagum kerana abang masih lagi (berusaha) menghiburkan saya walaupun dalam keadaan uzur.
 
Saya sangat bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang baik, biarpun dalam keadaan terlantar, masih lagi menjaga batas-batas saya sebagai seorang Muslim.
 
Pernah satu ketika, saya bercakap dengan seseorang. Pada mulanya abang hanya menghentak tangannya pada saya dengan perlahan, tapi lama-lama semakin kuat.
 
Rupa-rupanya abang tidak suka saya bercakap perkara yang tidak sedap didengar di telinganya.
 
Sampai begitu sekali dia sayangkan saya, supaya saya tidak buat perkara yang merugikan, malah abang sering berpesan ia adalah kebaikan untuk dijadikan contoh kepada anak-anak.
 
Ini juga yang patut dicontohi dan saya amat bersyukur semasa dalam keadaan sakit dan tidak bermaya, abang masih lagi bangun sepertiga malam untuk bertahajud.
 
Sangat tersentuh hati saya apabila kira-kira jam 3 pagi saya mendengar abang sedang membaca ayat-ayat suci al-Quran ketika bertahajud dan pernah satu ketika, bacaannya agak kuat kerana sengaja untuk bangunkan saya daripada tidur.
 
Memang inilah amalan abang sejak dulu lagi, malah tidak pernah abang abaikan dan mengeluh penat untuk melaksanakannya, walaupun kadangkala balik lambat sehingga jam 2 pagi (sewaktu menjadi menteri besar) pun.
 
Bertahajud tetap menjadi keutamaannya.
 
Pernah juga abang bergurau, “Pahala solat sunat abang lakukan ini tidak boleh berkongsi dengan Yah, amalan masing-masing. Jadi kita kena sentiasa beribadah”.
 
Walaupun nada nya bergurau, tapi saya tahu pesanannya itu adalah daripada seorang suami yang mahukan yang terbaik buat isterinya.
 
Abang memang utamakan solat. Setengah jam sebelum masuk waktu abang akan bersedia dengan wuduk dan saya masih ingat perumpamaan yang ditujukan kepada saya mengenai solat. Katanya, seperti menghadiri majlis kenduri, jika lewat datang sudah pasti lauk-pauk tidak akan cukup lengkap. Katanya sama juga dengan solat, jadi jangan tangguh-tangguhkan.
 
(Sekali lagi air mata Tuan Sabariah mengalir dan tetamu yang berada di ruang tamu juga kelihatan sayu sambil kedengaran tangisan kecil apabila berkongsi mengenai baju paling disukai oleh Tok Guru yang digayakan oleh isterinya.
 
Keadaan menjadi lebih sayu dan masing-masing memandang Tuan Sabariah apabila baju kegemaran Tok Guru itu dipakai sehari selepas pemergian Allahyarham, sambil tangannya digenggam erat oleh penulis)
 
Baju inilah (baju kurung kain kapas krim berbunga kecil) yang abang paling suka saya pakai, malah sering memuji corak yang katanya begitu sesuai dengan saya. Abang tidak suka saya pakai baju warna terang dan bunga besar dan banyak, tetapi tidak pula pernah melarang ataupun menegur sehingga saya berkecil hati.
 
Pernah juga baju pemberian rakan terpaksa disimpan walaupun hanya beberapa kali dipakai.
 
Ini kerana abang pernah menegur saya secara bergurau, “Yah nampak tua pakai macam itu." Saya hanya membalas dengan ketawa dan terus menyimpan baju itu dan tidak dipakai lagi.
 
Bagi saya, apa yang terbaik untuk abang adalah yang terindah bagi saya. Walaupun hal pakaian adalah perkara remeh bagi sesetengah isteri, namun itulah keutamaan bagi saya untuk menjadi isteri yang patuh kepada suami.



Sumber Watsapp kawan2


TGNA bersama isteri tercinta


Saturday, February 14, 2015

Siapa Tuan Guru Nik Aziz?

Sumber : Watsapp 

Jika belum mengenali siapa Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang sebenarnya, bolehlah ambil masa untuk membaca kisah dan biodata beliau yang agak menarik ini. Semoga menjadi manfaat buat kita semua.

Biodata YAB Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat 

Nama : Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Tarikh Lahir: 1931
Tempat lahir : Kampung Pulau Melaka,Kelantan.

Pengajian :
1-Pondok Tuan Guru Hj Abbas, Besut
2-Universiti Deoband India
3-Universiti Lahore Pakistan
4-Universiti Al Azhar
5-Sarjana Muda bahasa Arab
6-Sarjana Perundangan Islam

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1931.

Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat merupakan keturunan Raja Jembal. Bapanya lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama. Beliau terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat.

Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara. Sejak kecil beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang muktabar dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Hajah Aminah Majid.

Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu. Tuan Guru menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat seketika.

Pada masa ini juga, Tuan Guru berulang alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran Fekah. Setelah perang tamat Tuan Guru menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah.

Walaupun usia Tuan Guru masih muda tetapi beliau dapat menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi) setanding dengan murid-murid yang lebih tua.

Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952. Beliau menyambung pelajaran ke Universiti Darul Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir al-Qur’an, Hadis dan lain-lain.

Ketika di India beliau juga telah berguru dengan Sheik al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad Al-Madani dengan mendapat ijazah. Maulana Mohamad seorang pejuang kemerdekaan India yang pertama dan pernah di penjara semasa penjajahan Inggeris.

Pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam bidang Tafsir. Pada 1958 menyambung pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab kemudian menyambung pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama 2 tahun. Kemudian beliau mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanahair Februari 1962.

Perkhidmatan :
Pada 1962 beliau membuka sekolah dengan menggunakan tanah wakaf yang diberi oleh ibu saudara Hajah Kalthom iaitu Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum, Pulau Melaka di sebelah petang dan sebelah pagi beliau berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin. Pada sebelah malam beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama 2 tahun.

Pada 1 Januari 1964 beliau meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma’had Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.

Bidang Politik :
Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada Julai 1967 hingga 1986 beliau menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa). Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut Api hingga sekarang.

Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat hingga 1995. Kemudian dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh Tuan Haji Yusuf Rawa.

Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990. Dari sinilah bermulanya satu era kepimpinan ulama dan peranan serta tanggungjawab beliau bukan satu tugas yang kecil.

Beliau telah menulis beberapa buah buku antaranya ‘Mengapa Saya Tidak Masuk Kristian’ dan beberapa buah buku telah diterbitkan mengandungi siri-siri kuliah dan ceramah.

Pendakwah :
Dengan pengalaman yang ada, beliau telah membimbing pelajar Ma’had Muhammadi dengan menanam kesedaran dan akhirnya timbul satu ‘Halaqat pengajian yang sekarang disebut usrah. Selepas itu wujud sebuah surau yang masih ada di Ma’had Muhammadi Al-Banat, Jalan Merbau, Kota Bharu di mana surau itu dijadikan tempat latihan sembahyang jemaah dan dakwah.

Seorang Petah Bercakap
Tuan Guru lebih dikenali sebagai ulama kerana petah berpidato. Beliau telah diasuh oleh bapanya setiap hari Jumaat di masjid sejak dahulu lagi.

Ucapan beliau terang berserta dengan perumpamaan yang jelas dan memudahkan para pendengar memahaminya. Inilah cara beliau mendapat tempat di hati penyokongnya. Ilmu yang disampaikan merupakan khazanah dan kesetnya tersiar di seluruh negara hingga ke Selatan Thailand dan mendapat sambutan dari setiap peringkat sehingga menjadi bahan rujukan di pusat pengajian tinggi.

Keistemewaan :
Satu perkara yang luar biasa Nik Abdul Aziz, mengendalikan pondok bergerak sejak 1962 hingga sekarang. Beliau tidak pernah berhenti keluar rumah siang dan malam memberi kuliah dan berceramah kepada orang kampung.

Walaupun beliau telah menjadi Menteri Besar, bidang pendidikan tidak pernah ditinggalkan. Setiap malam Jumaat dan Khamis beliau mengajar dan setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah kerana bagi beliau mengajar adalah kerja yang paling mulia sebab ia merupakan pekerjaan para Anbia’.

Penghargaan :
Beliau mendapat penghargaan:
1. Jaksa Pendamai (JP) pada 10 Julai 1968 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Yahya Putra Ibnu Almarhum Sultan Ibrahim.
2. Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
3. Dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia peringkat pertama (Al-Isma’illi) SJMK yang membawa gelaran Dato’ pada 30 Mac 1995.

Perkahwinan :
Pada usia 34, beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Tuan Sabariah bin Tuan Ishak bin Raja Awang, berasal dari Kampung Kemumin, Kota Bharu iaitu tahun 1962. Hasil perkahwinan selama 30 tahun itu dikurniakan 10 cahaya mata lima perempuan dan lima lelaki.

Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar, Nik Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik Amani, Nik Amalina dan Nik Asma’ Salsabila.

Kehidupan beliau sederhana tinggal di sebuah rumah kayu binaan kampung. Ruang tamunya tidak dihiasi dengan set sebagaimana yang menjadi kebiasaan di rumah pembesar negeri. Apa yang ada sebuah almari yang penuh dengan kitab agama.

Beliau juga tidak membenarkan isterinya memakai sebarang perhiasan begitu juga dengan anaknya. Ternyata apa yang ditarbiyahkan ke atas keluarga dilakukan sendiri oleh beliau. Baju Melayu teluk belanga, kain sarung pelikat dan serban sudah menjadi pakaian rasmi beliau.

Ahli Parlimen yang komited :
Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya umum 1986 dan kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut.

Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah menyumbangkan pelbagai idea, saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan yang disampaikannya di Dewan Rakyat.

Kerajaan contoh :
Selaku Menteri Besar negeri Kelantan yang ada pada suatu masa dahulu pernah digelar Serambi Mekah itu, sudah pastilah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz akan berusaha untuk menghidupkan semula sebutan dan fungsi gelaran yang pernah diberikan kepada negeri Kelantan itu.

Tuan Guru Nik Aziz

PERGINYA MUROBBI YANG SETIA DENGAN KEBENARAN

“Allahu Akbar! Allahu Akbar! PAS menang di Kelantan! Angkatan Perpaduan Ummah!” kami di asrama bersorak gembira.

Ada yang mengetuk baldi, mengibarkan kain pelekat, bertakbir apabila keputusan pilihanraya umum 1990 diumumkan di televisyen asrama sekolah. Kemenangan itu bukanlah kemenangan politik kerana kami budak-budak sekolah menengah ketika itu, apalah sangat yang kami faham tentang politik. Tetapi mentaliti saya yang ketika itu di Tingkatan 3, menafsirkan keputusan pilihanraya umum itu sebagai sebuah kemenangan Islam.

Kebangkitan Islam!

1990 adalah tahun pertama, saya mengenal nama Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Begitu juga kebanyakan rakyat Malaysia ketika itu. Saya mengenalinya melalui akhbar Harakah, bahawa beliau adalah seorang ulama’, yang memimpin secara Islam. Islamnya bukan sekadar pada parti yang diwakili. Tetapi Islam pada cara hidupnya. Biar pun sudah bergelar Menteri Besar, beliau masih mengekalkan keadaan hidupnya yang serba sederhana.

Keinginan untuk mengenali Tuan Guru Nik Abdul Aziz, membawa saya kepada pengembaraan seorang diri pada tahun berikutnya semasa di Tingkatan 4. Perancangan asal adalah untuk mengaji Tasawwuf dengan seorang Tuan Guru di Kuang bersama rakan karib saya Zaharuddin Abdul Rahman. Abah bekalkan saya RM100 untuk perjalanan tersebut dan berpesan agar berjimat cermat dan berhati-hati. Setibanya di Puduraya dari Ipoh, Zaharuddin memberitahu saya bahawa Tuan Guru berkenaan sakit dan membatalkan kelasnya. Saya yang sudah bersemangat dalam kembara ilmu, berat hati untuk pulang ke Ipoh begitu sahaja.

“Kalau macam tu, ana pergi Kelantan. Ana nak tengok rupa Kelantan selepas kemenangan Islam. Anta nak ikut?” saya mengusik Zaharuddin.

“Tak apalah akhi. Anta pergilah” Zaharuddin menolak pelawaan saya.

“Anta tak suka politik ya?” saya mengusiknya.

Beliau tersenyum, dan kami berpisah.

KUNJUNGAN KE KOTA BHARU

Saya nekad memberanikan diri ke Kota Bharu untuk meninjau bagaimanakah rupanya sebuah bandar yang diperintah dengan pemerintahan Islam. Perjalanan jauh bas ekspres ketika itu berbaloi. Selain terkejut apabila bas berhenti untuk solat Subuh (ini sudah luar biasa), saya tambah terkejut kerana sebaik tiba di stesyen bas Kota Bharu, saya nampak orang berpusu-pusu ke sebuah bangunan bertulis Dewan Zulkifli Muhammad.

“Ramai-ramai ini, pergi ke mana, bang?” saya menyapa seorang lelaki di jalanan.

“Nak pergi dengar kuliah Tuan Guru. Sikit lagi akan bermula” katanya.

“Tuan Guru Nik Abdul Aziz?” saya teruja.

“Yo lah!” katanya dalam loghat Kelantan yang pekat.

Bagai pucuk dicita ulam mendatang, saya pun mengikut arus orang ramai. Hebatnya Kelantan. Menteri Besar mengajar agama kepada rakyatnya. Orang berpusu-pusu mengejar ilmu. Saya tumpang bersila di atas surat khabar di kaki lima kedai buku Syarikat Jaffar Rawas. Berbunga-bunga hati mendengar secara ‘live’ suara Tuan Guru Nik Abdul Aziz, walaupun saya tidak faham mana. Asyik mendengar hingga terlupa perut yang kelaparan. Biar pun tidak dapat melihat kelibatnya, dapat dengar suara pun jadilah.

Saya duduk di sekitar Masjid Muhammadi sehingga Maghrib sebelum mengambil bas Rasima Ekspres untuk kembali ke Ipoh malam tersebut. Puas hati. Kelantan memang Serambi Mekah. Era ini era kebangkitan Islam!

SEBELUM BERKELANA

1993, selepas mendapat keputusan SPM, saya dan sahabat seperjuangan tahu, kami semua akan berpisah membawa haluan masing-masing. Saya bakal ke Jordan, rakan-rakan yang lain pun akan ke destinasi pengajian yang tersendiri.

Sebelum berpisah, kami mahu mengadakan satu pengalaman yang akan menjadi azimat bekalan musafir kami menuntut ilmu. Selepas berpakat, kami memandu van sewa untuk menjelajah seluruh Malaysia bertemu dengan alim ulama, meminta nasihat mereka buat kami anak muda yang sedang menjejak perjalanan yang pernah mereka tempuhi.

Salah satu destinasi kami adalah Pulau Melaka, di Kelantan.

Petang itu kami tiba di kediaman Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Entahlah ada rezeki atau tidak untuk bertemu. Siapalah kami.

Setibanya kami di perkarangan rumah Tuan Guru, kami ternampak seorang lelaki berketayap berbaju Pagoda berada di atas bumbung rumah. Seorang lelaki datang kepada kami memaklumkan yang Tuan Guru Nik Aziz sedang bertukang membetulkan bumbung rumahnya. Jika kami berhajat untuk bertemu dengan beliau, datanglah ke Masjid Pulau Melaka subuh nanti dan jumpa Tuan Guru selepas beliau habis berkuliah, mengupas kitab Ihya’ Ulum al-Din.

“Subhanallah, seorang Menteri Besar sedang bertukang di bumbung rumahnya!” saya mengomel sendirian.

Tidak ada contoh sebegini yang pernah kami saksikan dalam hidup zaman ini.

Kami mengambil keputusan untuk bermalam sahaja di Masjid Pulau Melaka. Masjid itu masih dalam proses pembinaan. Dengan beberapa ringgit yang ada di dalam dompet, kami bersedekah seadanya mengharapkan agar projek masjid tersebut siap dan berfungsi sepenuhnya.

Keesokan pagi, seperti yang dijanji, kami mendengar kuliah Tuan Guru, usai beliau mengimamkan solat subuh. Saya masih ingat butiran kuliah itu.

“Istighfar kita hari ini, berhajatkan satu istighfar yang lain. Kita beristighfar meminta ampun kepada Allah, tetapi kita tidak memaksudkannya. Kita tidak menyesali dosa yang kita lakukan. Kita minta ampun yang kita tidak minta. Maka beristighfarlah atas istighfar yang cacat itu” kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Saya hiba mendengarnya. Kuliahnya bersahaja, tetapi hati anak muda ini amat tersentuh.

Selepas subuh, kami merapati Tuan Guru, memperkenalkan diri dan menyatakan hajat kami sebagai penuntut ilmu. Tuan Guru berpesan, “ikhlaskan hati belajar lillahi Ta’ala, kuatkan semangat, bersungguh mengaji, dan jauhkan diri daripada maksiat.”

Nasihatnya ringkas. Namun kami sungguh menghargainya.

Kami kepingin untuk bergambar dengan Tuan Guru. Tetapi pada zaman itu, rasanya seperti tidak beradab meminta bergambar. Terasa malu yang amat sangat. Biarlah semuanya tersemat di ingatan. Cukup sekadar bergambar di hadapan Masjid Pulau Melaka, tidak dengan Tuan Guru di sebaliknya. Tuan Guru, di hati dan memori, sudah memadai.

Kami bakal menyusulimu. Asim Saleh yang mengambil foto ini telah kembali ke rahmatullah mendahului kami semua

Selepas terbang ke Jordan, pernahlah beberapa kali Tuan Guru Nik Abdul Aziz singgah. Kami mengambil peluang hadir mendengar nasihat-nasihat beliau selaku pemimpin PAS, dan terlebih utamanya sebagai Tok Guru.

Nasyid “Kemenangan Kita” yang saya hasilkan untuk membantu kempen Pilihanraya 1995

KENANGAN DI UK

1999, Hizbi UK dan Eire menjemput Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan sebagai tetamu undangan. Jika Menteri Besar negeri lain, tentu sahaja pihak Kedutaan menyambut VVIP ini di Lapangan Terbang Heathrow. Tetapi tidak bagi Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Kami para pelajar yang menyambutnya di Heathrow.

Saya yang ketika itu bermastautin di London menyertai rombongan mengiringi Tuan Guru untuk ke Birmingham. Dalam perjalanan ke sana, kami bermalam di Coventry. Malam itu semua orang tidur dalam keadaan letih. Tanpa diduga, tidak lama menjelang subuh, Tuan Guru Nik Abdul Aziz menggerak kami, memaklumkan yang beliau berqiamullail dan jika ada yang mahu bersama, beliau alu-alukan.

Saya menggosok-gosok mata. Terkejut, kehairanan, dan malu-malu alah lalu bangun menyertai qiamullail Tuan Guru.

Semasa bersarapan, saya bertanya kepada Tuan Guru, bagaimana beliau boleh bangun berqiamullail walaupun berbeza waktu antara Malaysia dan UK. Adakah kerana jetlag, atau beliau tidak tidur sepanjang malam? Tuan Guru menjawab dengan lebih kurang maksudnya, “satu-satu benda tu, apabila kita dah suka, kita pergi mana pun dia ikut kita”

Kehadiran Tuan Guru di Birmingham disambut secara besar-besaran oleh komuniti Malaysia di seluruh UK dan Ireland. Tambahan pula Malaysia di tahun itu sedang panas dengan Reformasi. Mata Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lebam dalam tahanan, membakar kemarahan rakyat Malaysia di seluruh dunia.

“Kalau boleh, ana nak merasa salji. Kali terakhir ana merasa salji adalah semasa belajar di Kashmir” kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz, menyuarakan hajatnya.

Aduh, bagaimana kami hendak mencari salji. Kini sudah menghampiri Krismas tetapi salji belum turun. Ramailah pemimpin pelajar merancang untuk membawa Tuan Guru ke Scotland usai program di Birmingham, demi memenuhi hajatnya. Tetapi, hadiah daripada Allah barangkali, semasa giliran Tuan Guru Nik Abdul Aziz berucap di pentas, salji turun selebat-lebatnya di Birmingham. Ceramah Tuan Guru ditangguhkan, dan kami semua ke luar dewan bermain salji. Bukan tidak biasa dengan salji. Tetapi salji kali ini adalah salji harapan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Semasa beliau singgah di London, saya bertanya kepada Tuan Guru satu soalan yang sensitif. Saya tanya, “kalau Tuan Guru tidak menjadi Menteri Besar atau ahli politik, apakah yang akan Tuan Guru lakukan barangkali?”

Tuan Guru menjawab, “ambo suka mengaji. Jika tidak berpolitik ambo nak sambung mengaji. Tetapi mengaji dan politik payah nak buat bersama. Sepertinya kena memilih satu antara dua.”

Itulah jawapan ringkas beliau.

Dan itulah juga secebis kenangan saya bersamanya.

Saya tidak banyak mengingati Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai seorang ahli politik. Mungkin sebab saya sendiri bukan orang politik. Tetapi saya akan sentiasa mengenang beliau sebagai seorang tokoh ummah, yang dalam puluhan tahun menempuh badai memperjuangkan Islam di dalam PAS dan di negeri Kelantan, beliau akan saya kenang sebagai seorang Muslim dan Mukmin yang SETIA DENGAN KEBENARAN.

Pergilah ayahanda Tuan Guru kembali kepada Tuhanmu yang Maha Tinggi. Berehatlah engkau dari segala kebejatan dunia. Malam ini engkau pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya. Meninggalkan kami yang masih tidak keruan dalam mencari sinar di hujung perjalanan.

Pada detik engkau pergi buat selamanya, hatiku tertanya-tanya, adakah kami engkau tinggalkan masih dalam rentak kebangkitan Islam? Jawapan itu kembali kepada kami, untuk melakukannya.

Moga ada pertemuan kembali kita dalam perhimpunan Akhilla’, ameen.

 اللهم اغفر له، وارحمه، وعافه، واعف عنه، وأكرم نُزُله، ووسع مُدخلهُ، واغسله بالماء والثلج والبرد، ونقه من الخطايا كما ينقى الثوب الأبيض من الدنس، وأبدله داراً خيراً من داره، وأهلاً خيراً من أهله، وزوجاً خيراً من زوجه، وأدخله الجنة، وأعذه من عذاب القبر

HASRIZAL
43000 BSP
12 Februari 2015/23 Rabiul Akhir 1436H

Tuan Guru Nik Aziz dalam kenangan

TGNA - singkatan nama yg tidak asing di Malaysia. Rakyat mengenali beliau sebagai pemimpin berjiwa rakyat. Walaupun beliau dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan,  sikap dan pola kehidupannya tetap sama - begitu tawadduk, rendah diri, memahami jiwa rakyat. 

Rumah yang disediakan sebagai Menteri Besar tidak dihuni beliau hanya untuk upacara rasmi sahaja. Beliau dan isteri masih tetap duduk di rumah kampong beliau. Rumah yang telah menjadi bukti kehebatan seorang ulama membesarkan sepuluh orang anak.

TGNA pemergianmu membuat ramai menitiskan air mata.. Seorang lagi ilmuan /ulama pergi meninggalkan kita..kami mendoakan Kebahagiaan di akhirat dan mudahan kami juga menyusul dan dapat bertemu beliau di alam yang lain..
Al Fatihah

Kata - kata yang ditinggal beliau menjadi sumber inspirasi buat kami yang ditinggal..