Sunday, November 23, 2014

Wasiat Imam Syafie - Bahagian 1

1. Belajar dan Mengajarkan Ilmu: “Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia akan menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan akhirat, di samping ianya menjadi amalan para nabi, rasul dan orang-orang soleh.” –Imam Syafie-. Ilmu yang sebenar-benarnya adalah ilmu yang mendekatkan kita kepada Allah swt. Tidak kira ilmu akhirat seperti tauhid ataupun ilmu dunia seperti sains dan matematik kerana kedua-dua jenis ilmu ini mengajar kita akan kewujudan dan kekuasaan Allah swt yang tidak terbatas.

2. Memilih Makanan yang Halal “Pilihlah makanan yang halal kerana ia menjamin kesihatan dan menyebabkan syaitan gerun.” –Imam Syafie-. Dalam hadis yang dinyatakan oleh Tirmizi, nabi bersabda “Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka api nerakalah yang layak baginya.”

3. Memperbanyakkan Lima Perkara "1. Perbanyakkan menyebut Allah swt daripada menyebut makhluk. 2. Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia. 3. Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan. 4. Jangan menyebut-yebut kebaikan diri dan keluarga. 5. Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain.” –Imam Syafie-. Nabi Muhammad pernah mengingatkan umatnya berkenaan menggunakan lima kesempatan sebelum tiba lima bencana iaitu muda sebelum tua, lapang sebelum sibuk, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin dan hidup sebelum mati.

4. Sabar dengan Musibat, Syukur dengan Nikmat “Sabar menghadapi musibat adalah sebesar-besar erti sabar di mana sabar itu sendiri memerlukan kesabaran pula. Adapun bala dan musibat, ia menunjukkan adanya perhatian dan kasih saying Allah swt. Oleh itu, syukurilah ia kerana syukur yang sedemikian setinggi-tinggi erti syukur.” –Imam Syafie-. Musibat dan nikmat adalah cubaan daripada Allah swt supaya manusia sedar dan kembali mengingati kekuasaan Allah swt. Manusia mempunyai sifat yang berbeza terutama dalam menghadapi susah, musibat, bala, malapetaka, kesenangan dan kenikmatan.

5. Menziarahi Orang Sakit “Apabila salah seorang di antara kaum kerabat ataupun jiran dan saudara kamu sakit, hendaklah ringankan langkah untuk menziarahinya kerana ia disaksikan oleh malaikat dan dicintai Allah swt.” –Imam Syafie-. Barang siapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah swt, maka terdengarlah suara yang memanggil dan mengatakan bagus dan bagus langkahmu dan ambillah tempat tinggalmu di dalam syurga.

6. Hindari Perasaan Marah “Marah adalah salah satu di antara panah-panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu, hindarilah ia agar kamu dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya.” –Imam Syafie-. Apabila marah diperturutkan, ia membakar kebaikan seperti api membakar kayu dan tiada yang tersisa kecuali barah dan debu.

7. Mengasihani Anak Yatim “Kasihanilah anak yatim kerana Rasulullah SAW juga tergolong sebagai anak yatim dan baginda akan bersama-sama dengan orang yang menyayangi dan mengasihi anak yatim di akhirat.” –Imam Syafie. Membiarkan anak yatim bererti kita mengkhianati agama dan menghina mereka. Ini bererti kita turut membenci Nabi Muhammad yang juga anak yatim piatu. Bimbinglah mereka ke jalan yang diredai Allah swt dan jauhilah mereka daripada jalan kesesatan.

8. Berbakti kepada Ibu Bapa “Berbuat baik dan tunjukkan baktimu kepada ibu bapamu tanpa mengenal letih dan lelah sebagaimana mereka telah berbuat begitu sepanjang hayat mereka. Ianya akan menambah keberkatan pada umurmu, menambah rezeki dan keampunan atas dosa-dosamu.” –Imam Syafie-. Derhaka kepada ibu bapa termasuk dalam empat dosa-dosa besar. Keadaan ini jelas berdasarkan sabda nabi yang dinyatakan oleh Bukhari, “Sebesar-besar (daripada) dosa besar ialah menyekutukan Allah swt -membunuh manusia, derhaka kepada dua ibu bapa dan menjadi saksi palsu.”

9. Amal Soleh sebagai Perisai “Berbuatlah sebanyak-banyaknya amal soleh kerana ia merupakan pendinding dan perisai orang Mukmin dan pelindung daripada serangan iblis.” –Imam Syafie-. Semua amalan itu bukan untuk Allah swt, tetapi untuk keuntungan pengamalnya sendiri. Allah swt tidak memerlukan kita dan amal soleh kita sedikit pun. Sebaliknya, kitalah yang memerlukannya.

10. Takwa Membuahkan Insan Berjaya dan Cemerlang “Takwa merupakan pakaian kebesaran dan hiasan akhlak Muslim sebenar. Ianya ibarat pokok zaitun, minyaknya membawa berkat, ianya juga memberi kejayaan dan kemenangan.” –Imam Syafie-. Nabi Muhammad pernah bersabda dalam hadis yang dinyatakan oleh Tirmizi, “Bertakwalah kamu di mana saja berada, iringilah setiap perbuatan dosa dengan amalan kebaikan yang akan memadamkan dosa itu dan pergaulilah manusia dengan akhlak terpuji.”

11. Bentengi Iman dengan Lima Kekuatan “Iman mempunyai bentengnya bagi menghalang segala serangan yang cuba merobohkannya. Oleh itu, bagi menguatkan benteng iman, perlulah dibajai keimanan dengan 5 perkara iaitu yakin, ikhlas, mengerjakan amalan sunat, istiqamah beramal, bertatasusila ataupun berdisiplin di dalam mengerjakan ibadah.” –Imam Syafie-. Iman itu selepas diusahakan mencari dan menyuburkannya, wajib pula mengawal dan membentenginya daripada serangan musuh-musuh yang akan merosakkan iman. Tanpa pagar ataupun benteng yang kukuh, pasti iman terancam oleh musuhnya iaitu nafsu dan syaitan.

12. Ilmu Menenangi Hati “Ingat dan zikir kepada Allah swt sebanyak-banyaknya kerana ia mengubati penyakit jasmani dan hati. Ia mencetuskan ketenangan hidup dan qanaah.” –Imam Syafie-. Ketenteraman hati dan ketenangan hidup adalah kuasa maha ajaib yang diperlukan dalam hidup manusia. Menjadi hukum serta prinsip alam, orang itu akan berasa aman dan tenang apabila mengetahui dan merasakan di sana ada ‘kuasa’ yang mampu mengatasi segala kebimbangan dan rasa terancam.

13. Khusyuk Zahir dan Batin “Kyusuk secara zahir adalah kyusuknya orang awam. Kyusuk secara batin adalah kyusuknya orang pilihan di sisi Allah (SWT).” –Imam Syafie-. Kyusuk berlaku kerana hati ikut bermunajat, berzikir, sentiasa berdoa kepada Allah swt serta sentiasa ingat Allah swt melihat gerak-geri hambaNya.

14. Awas! Kubur Menunggu Kita “Kubur adalah sebuah perhentian sementara untuk membolehkan ke satu perhentian lagi yang penuh dengan soal siasat. Oleh itu, siapkanlah jawapan yang adil dan benar menerusi amal yang benar dan taat kepada al-Haq yang tidak berbelah bagi.” –Imam Syafie-. Di dalam kubur, liang yang sangat sempit, tidak ada perbezaan antara pelayan dan majikan, kaya dan miskin. Semuanya sama. Nikmat kemewahan dan kelazatan dunia pasti berakhir dengan kematian.

15. Mematahkan Serangan Syaitan “Kita hendaklah sentiasa memohon perlindungan daripada Allah swt. Sekurang-kurangnya, dengan mengucapkan A’uzu billahi min al-syaithan il-rajim. Jika serangan syaitan dating juga bertalu-talu dengan hebat, kita mestilah bersabar dan menyedari Allah Taala hendak menguji keteguhan sabar kita, hendak melihat ketulenan jihad kita. Ketahuilah, perang dengan syaitan itu lebih hebat daripada perang sabil.” –Imam Syafie-. Syaitan sentiasa berdendam dengan manusia. Setiap saat memerangi manusia dengan membisikkan hasutan, godaan dan tipu daya. Manusia yang mengerjakan ibadat kepada Allah swt adalah orang yang paling dimusuhi. 



No comments:

Post a Comment